"Sistem talaqqi dulu dan kini yang menjaga penuntut ilmu daripada tersilap memahami Al-Quran dan As-Sunnah"
"Sistem talaqqi di Masjid Al-Azhar yang melahirkan puluhan ribu ulama' yang menjadi rujukan dunia"
Banyak persoalan yang menjengah masuk di blog dan yahoo group. YM saya sudah beberapa minggu tidak online. Kalau online pun invisble. Jangan marah ya. Bukan tidak sudi menjawab setiap persoalan yang diajukan. Ingin sekali terus dijawab walau dengan beberapa kalam pendek, namun tiada mood di saat ini dengan beberapa situasi yang tidak stabil. berpuluh artikel saya di KIV dulu. Saya tidak perlu memanjangkan di sini mengapa dan kenapa.
Buat pengetahun sahabat-sahabat, saya sedang menunggu natijah (result) dan jika rezeki saya lulus, saya akan pulang ke Malaysia. Doa kalian amatlah dihargai. Doakan saya ya.
Sahabat-sahabat yang bertanya ada yang bersifat “ingin tahu” dan ada yang bersifat “ingin menahu”. Apa beza “tahu” dan “menahu”. Orang kelantan mungkin faham penggunaan ini. Orang yang ingin tahu akan bertanya dengan persoalan dan adab-adab orang yang ingin bertanya dan ingin tahu. Adapun orang yang ingin menahu bertujuan membuat provokasi dan cuba mencari kelemahan tulisan saya. Bukan saya tidak akui tulisan saya ada kelemahan namun jika kritikan itu bukan tujuan membina tetapi menghina, maka saya tidak perlu untuk membazirkan masa untuk melayan mereka.
Kenyataan saya bukan bersifat prejudis tetapi itu kenyataan yang saya hadapi. "Mungkin Ustaz boleh husnozzon dengan orang yang bertanya". "Ya, benar kata kamu tapi husnuzzon itu kepada sesuatu yang kita tidak tahu secara pasti." Bagaimana jika soalan itu sudah pasti daripada nada dan individu yang kita sudah kenali pemikiran mereka. Dia pernah membuat kacau di blog-blog agama yang lain dan di blognya sendiri banyak kata-kata kesat. Tulisan mereka bertujuan membuat provokasi dan kekacauan. Apakah perlu lagi untuk saya berhusnuzzon dengan mereka?
Blog saya untuk sahabat-sahabat yang ingin tahu sahaja. Kepada yang ingin menahu atau merasakan sudah terlalu tahu, diminta tidak menganggu di sini. Kerana anda hanya menambahkan bilangan komen di artikel saya dan juga meningkatkan trafik ke blog saya. Tumpuan saya hanya kepada sahabat-sahabat yang benar-benar ingin tahu. Harap maklum.
Saya tidak nampak di mana akhirnya pertembungan yang mengaku salafi aka wahabi dengan ahlisunnah wal jamaah yang semenjak zaman Muhammad Ibnu Abd Wahhab sehingga sekarang jika mereka masih bersikaf sebegini. Tuduh menuduh, kafir mengkafir. Keras kepala dan merasakan pandangan mereka sahaja yang benar. Pandangan mereka sahaja berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Ulama' tidak maksum dan melakukan kesilapan kata mereka. Kira-kira mereka maksum ya daripada tersalah memahami Al-Quran dan As-Sunnah?
Jika mereka datangkan seribu ayat Al-Quran dan seribu matan hadis apakah kefahaman terhadap keduanya mesti benar? Al-Quran dan Al-Hadis itu maksum tetapi apakah kefahaman mereka juga maksum daripada tersilap? Dalil atau nas dan kefahaman dua elemen yang mustaqillah (terpisah). Jika ada dalil tidak semestinya kefahaman kita terhadap dalil juga dikira benar dan maksum.
Hayati hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah dan dikeluarkan oleh Imam At-Tabrani, Ad-Dailami dan selain daripada keduanya;
Sabda Nabi SAW : Ambillah ilmu sebelum ilmu itu hilang. Bertanya Sahabat : Wahai Rasulullah! Bagaimana ilmu boleh hilang sedangkan di sisi kita ada kitabullah dan sunnah RasulNya? Berkata Abu Umamah : Maka Rasulullah marah yang tidak mendatangkan kemurkaan Allah. Jawab Rasulullah SAW : Sesungguhnya hilangnya ilmu dengan hilangnya pembawanya.
1) Daripada hadis ini jelas menunjukkan kepada kita, hilangnya ilmu atau diangkatnya ilmu dengan matinya alim ulama' iaitu pembawa kepada ilmu tersebut.
2) Hadis ini juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang kononnya ingin kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadis dengan mengenepikan ulama'. Sahabat menyangka dengan adanya Al-Quran dan Al-Hadis maka ilmu itu tidak hilang. Namun Rasulullah SAW menyangkal kefahaman sahabat yang bertanya dengan jawapan Baginda SAW : hilangnya ilmu dengan hilangnya pembawa yakni ulama'. Kerana apabila matinya ulama' maka kefahaman terhadap Al-Quran dan Al-hadis juga hilang walaupun Al-Quran dan Al-Hadis ada di sisi kita.
3) Hadis ini juga menolak pandangan memahami Al-Quran dan Al-Hadis secara zahir tanpa melihat kepada kefahaman ulama' dalam menjelaskan setiap nas-nas. Perhatikan pertanyaan sahabat. Bagaimana ilmu boleh hilang sedangkan di sisi kita ada kitabullah dan Sunnah RasulNya? Inilah sangkaan golongan wahabi aka salafi yang menolak mazhab dan pandangan ulama' dengan sangkaan pandangan mereka tidak maksum.
Mengapa Rasulullah SAW menyangkal pandangan sabahat? Kerana walaupun Al-Quran dan Al-Hadis ada di sisi kita, belum tentu kefahaman kita terhadap keduanya bertepatan dengan kehendak Allah dan Rasulullah SAW. Kefahaman yang sebenar ialah kefahaman yang diwarisi oleh Para Sahabat Radiallahu 'Anhum daripada Nabi SAW kemudian Para Tabi'en dan kemudian Tabi' Tabi'ien sehinggalah kepada ulama' kita pada hari ini yang mempunyai sanad yang sampai kepada Nabi SAW.
Kita dikatakan menyesatkan mereka, padahal mereka telah menyesatkan ramai umat Islam dulu, kini dan selamanya dengan persoalan khilafiyyah dan ulama’-ulama’ mu’tabarah yang telah diakui zaman berzaman. Mereka melaung-laungkan perkataan bidaah dan merasakan seolah-olah mereka sahaja yang melakukan sunnah. Mereka lebih suka melihat umat Islam terus berpecah daripada menjaga kesatuan umat Islam.
Di Perlis sudah berlaku pergaduhan kerana soal qunut dan lain-lain. Bahkan ada yang bercerai kerana berbeza pandangan di antara suami isteri. Inikah yang dikatakan sunnah? Inikah yang diperjuangkan oleh mereka yang mendakwa pejuang sunnah? Persoalan qunut merupakan perkara sunat sedangkan menjaga kesatuan umat Islam merupakan suatu kewajipan.
Sudah terlalu banyak tulisan yang boleh dibaca di blog-blog seperti link yang saya letakkan di bloglist saya. Semuanya telah menjawab segala keraguan yang ditimbulkan oleh golongan salafi aka wahabi. Pembongkaran demi pembongkaran telah dilakukan ke atas jenayah ilmu dan kitab para ulama’ kita. Mereka mengambil sekerat-kerat dan mentakwil mengikut kefahaman mereka sedangkan ulama’ kita menyatakan sebaliknya.
Pada mereka, tulisan orang lain sampah. Ini perkataan yang mereka gunakan di al-fikrah.net aka al-fikrah.wahabi. masuklah ke laman ini dan sahabat-sahabat menilai sendiri bagaimana thread mereka dipenuhi dengan umpatan dan fitnah kepada beberapa tokoh ulama’ kita seperti Syeikh Nuruddin dan Syeikh Fuad Al-Maliki. Artikel saya juga tidak ketinggalan menjadi bahan ejekan kepada mereka. Sedangkan apa yang saya tulis hanya terjemahan daripada kitab dan keterangan ulama’ yang muktabar (diakui authoritynya). Bukan saya yang akui tetapi ulama’ sepanjang zaman yang mengakuinya. Ulama’ menilai ulama’ itu suatu yang sepatutnya seperti Doktor menilai Doktor yang lain. Tapi kalau driver ingin menilai Doktor itu suatu yang tidak masuk akal. Kerana sudah pasti driver itu tidak memahami benarkah dia seorang doktor dengan ilmu dan kepakarannya atau dia hanya bomoh jalanan.
Ah, kami bukan mengumpat tetapi menyatakan kebenaran.
Jika mereka mengatakan sebegini, ini menunjukkan mereka tidak memahami perbezaan mengumpat dan fitnah. Mengumpat kita menyatakan kebaikan atau keburukan seseorang di belakangnya dan kita tahu jika tuan empunya tahu, dia tidak akan suka. Adapun memfitnah ialah menyatakan sesuatu yang tidak benar.
Kalau mereka menyatakan perkara yang tidak benar, itu bukan lagi mengumpat namanya tetapi sudah termasuk di dalam ta’rifan fitnah. Kerana mengumpat walaupun kita menyatakan sesuatu yang benar tetapi tidak diredhai oleh empunya diri maka kita sudah termasuk di dalam ta’rifan mengumpat.
Saya tahu ada umpatan yang dibenarkan. Seperti menyatakan kezaliman dan kesilapan seseorang supaya umat Islam berhati-hati seperti dilakukan oleh ulama’ menyatakan si fulan dengan sesuatu gelaran yang menepati pemikiran mereka seperti gelaran mujassimah, wahabiyyah dan sebagainya. Ini termasuk di dalam sesuatu yang harus bahkan kadang-kadang menjadi suatu kewajipan kerana jika tidak dinyatakan ia akan merosakkan akidah umat Islam dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam.
Saya pelik, wahabi marah apabila dikatakan mereka wahabi. Syiah mengaku dia syiah tapi wahabi marah apabila dikatakan wahabi. Kita menilai seseorang itu wahabi berdasarkan pemikiran dan manhaj yang mereka bawa bertepatan dengan manhaj Muhammad Ibnu Abd Wahhab yang telah ditolak oleh ayah dan abangnya sendiri bahkan mufti Makkah yang terakhir ketika itu iaitu Syeikh Zaini Dahlan juga menulis satu kitab menolak fahaman sesat Muhammad Ibnu Abd Wahhab. Kenali siapa Syeikh Zaini Dahlan di sini.
Walaupun kata mereka bukan 100 peratus sama kefahaman kami sama dengan Muhammad Ibnu Abd Wahhab. Ya, benar tapi methodologi dan kefahaman mereka masih lagi di dalam lingkungan ajaran ini. Saya nak guna perkataan aliran (mazhab) pun tidak ada ulama’ yang mengi’tiraf aliran mereka sebagai mazhab yang diakui sepertimana mazhab yang empat bahkan yang mengkritik dan menemplak ajaran ini teralalui ramai daripada ulama’ terkemuka dunia dulu, kini dan selamnya. Boleh lihat di sini senarai ulama' yang menolak Ibnu Taimiyyah.
Apa kaitan Muhammad Ibnu Wahhab dan Ibnu Taimiyyah? Ulama' menyebut Muhammad Ibnu Abd Wahhab terpengaruh dengan tulisan Ibnu Taimiyyah bahkan Ibnu Taimiyyah pernah bertaubat. 'Afallahu 'Anhu. Boleh baca di sini kisah taubat Ibnu Taimiyyah.
Kalau ada yang mengi’tiraf mereka pun, tokoh-tokoh mereka sendiri yang sudah pasti bias kepada ajaran yang mereka anuti kerana itu akan memberikan impak yang baik kepada ajaran mereka. Adapun mazhab ahli sunnah wal jamaah, sudah menjadi mutawaatir kebenarannya di timur dan di barat sehingga mustahil mereka berkumpul dan berpakat untuk menipu atau malakukan pendustaan kepada Al-Quran dan As-Sunnah seperti di dalam ta’rifan mutawaatir.
Apa yang saya pelajari daripada guru-guru saya di Malaysia sama dengan apa yang saya pelajari di Mesir. Bahkan guru saya bukanlah berkelulusan Mesir. Hanya guru pondok yang selalu diperlekeh oleh golongan wahabi. Walhal pondok inilah yang telah menyampaikan kepada datuk-datuk dan moyang-moyang kita ilmu Islam dan membawa dakwah Islam di Tanah Melayu seperti yang tertera di dalam sejarah sebelum ada sekolah arab dan Universiti.
Bagaimana kira-kira guru-guru pondok saya dan ulama' mesir tidak bercanggah? Kerana manhaj ilmu mereka sama. Rantaian ilmu mereka jika dikaji akan sampai kepada satu titik yang sama. Sebab itulah kefahaman mereka juga sama. Wahabi aka salafi sendiri ada beberapa jenis. Salafi aka wahabi Mesir lain, salafi aka wahabi Malaysia lain, salafi aka wahabi Saudi lain. Jadi di mana dakwaan mereka jika kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah tidak akan ada perbezaan? sedangkan mereka sendiri berbeza.
Inilah perbezan yang berlaku kepada mazhab yang empat yang pernah dilaungkan sebagai haram bermazhab suatu ketika dulu. Buktinya boleh baca kitab "Al-Mazhab atau tiada haram bermazhab" karangan As-Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili yang menjelaskan kekeliruan Hassan Bandung yang membawa fahaman kaum muda aka wahabi aka salafi jadian. Mereka mendakwa mazhab punca perpecahan umat Islam walhal merekalah yang memusnahkan kesatuan umat Islam dengan ajaran baru mereka.
Ana selalu katakan kepada sahabat-sahabat ana. Jika kalian pandai bahasa arab bermula dengan kamus Al-Marbawi atau yang seumpama dengannya, janganlah teralu berlagak dan angkuh untuk mengkritik dan menolak ulama’-ulama’ kita. Di dalam soal pengurusan pondok mungkin ya kritikan itu benar tetapi di dalam soal ilmu mereka yang berantaian daripada seorang ulama’ kepada seorang ulama’ sehingga kepada tuan empunya kitab dan akhirnya sampai kepada Nabi Muhammad SAW dengan dakwaan ilmu kita lebih benar, maka ini termasuk di dalam perkara yang sangat dangkal.
Tulisan kali ini sekadar lontaran umum untuk sahabat-sahabat pembaca. Persoalan-persoalan yang diutarakan, ana akan jawab insyAllah. Kalau bukan hari ini, esok atau lusa tapi blog ini akan terus menyatakan kebenaran berdasarkan manhaj ilmu yang disebut sebagai talaqqi bil qabul. Untuk memahami manhaj ini boleh hayati ceramah yang di sampaikan oleh Dr Usamah As-Sayyid yang sangat alim di dalam ilmu hadis dan huraian yang sangat luar biasa sehingga digelar oleh orang-orang Mesir sebagai Sya’rawi Jadid. Boleh tonton di sini.
Mohon maaf kepada semua. Saya hanyalah seorang manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan dan kesalahan. Semoga Allah mengampuni kita semua dan memberikan petunjuk untuk kita memahami agama Allah dengan methodologi dan manhaj yang sebenar yang diakui oleh Nabi SAW sebagai satu golongan yang selamat daripada 73 puak yang berpecah daripada kalangan umat Islam.
0 comments:
Post a Comment